Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

Berita/Aktiviti

14 Nov 2018

       Mesyuarat Majlis Perlimau Kebangsaan pada 29 April 2017 dan pada 4 Ogos 2018 telah menetapkan bahawa kadar kutipan yuran untuk penyertaan acara Perlimau Tapak dan Perlimau Seni kekal pada kadar yang ditetapkan sebelum ini.  Kadar yang ditetapkan ialah:

 

i.                     Perlimau Tapak (L)   -              RM 11.50 + RM 5.00 (sijil)

ii.                   Perlimau Seni (L)     -              RM 21.50 + RM 5.00 (sijil)

iii.                 Perlimau Seni (W)    -              RM 11.50 + RM 5.00 (sijil)

 

       Dari  kadar yang dinyatakan  ini ditetapkan bahawa RM 5.50 dari perkara i dan iii, dan perkara ii sebanyak RM 7.50 diserahkan kepada Waris Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahaman iaitu Hajah Siti Fadhilah Dato’ Meor Abdul Rahman.  Baki dari kutipan ini hendaklah diagihkan pula atas budibicara Lembaga Beradat Negeri (LBN).  Agihan kutipan ini boleh diagihkan untuk keperluan pengurusan Wakli Perlimau Tapak/Seni, Gelanggang, Gurulatih, Kapit Jinjang dan lain-lain yang difikirkan perlu oleh pengurusan LBN masing-masing.

       Agihan yang diperuntukan kepada Waris Dato’ Meor Abdul Rahman boleh diserahkan secara terus (dengan tangan) oleh Wakil Perlimau Tapak/Seni atau dimasukkan ke dalam akaun Bendahari Agong PSSGM, manakala baki kutipan seterusnya diserahkan kepada penerima-penerima pada kadar yang ditetapkan oleh pengurusan LBN.

       Semua pesilat (murid) yang melalui acara Perlimau Tapak/Seni dikehendaki menerima Sijil Adat Perlimau.  Sijil ini boleh diperolehi dari SUA PSSGM  dengan bayaran RM 5.00.  Dokumen tersebut adalah rujukan rasmi pesilat telah  diperlimaukan (layak mempelajari ilmu Silat Seni Gayong).  Urusan untuk mendapat sijil ini hendaklah diselaraskan oleh Gurulatih gelanggang yang terlibat.  Bayaran sijil hendaklah disalurkan kepada Akaun Bendahari Agong PSSGM.

       LBN diberi kebenaran untuk menambah kadar kutipan pada jumlah yang munasabah jika terdapat keperluan yang jelas.  Jumlah kutipan hendaklah diputuskan oleh LBN. dan hendaklah memastikan semua rekod kutipan dan agihan dibentang dan disahterima dalam mesyuarat pengurusan LBN masing-masing.   Tatacara menyimpan kira-kira kewangan ini hendaklah mengikut piawaian standard yang diperakui.

 

13 Nov 2018

       Umum maklum bahawa, terutamanya dalam kalangan komuniti Silat Seni Gayong amat menekankan pengamalan adat dan adab dalam penganjuran aktivitinya.  Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahamn menurunkan pelajaran Silat Seni Gayong bersekali dengan adat istiadat yang berkaitan.  Kedua-dua unsur ini membentuk pula adab dan akhirnya melahirkan rupa bentuk jati diri manusia yang diidamkan oleh masyarakat Melayu khususnya dan  insan yang menyumbang kepada kemakmuran bumi ini amnya.

       Pada hari ini didapati ramai dalam kalangan gurulatih Silat Seni Gayong tidak memahami kehendak ini, dan terdapat kejadian  perkara adat istiadat dan adab tidak dilaksanakan dan dijaga dengan teliti.  Ini mengakibatkan berlakunya hakisan nilai-nilai yang diterapkan melalui acara dan aktiviti yang dianjurkan, dan dalam masa yang sama berlaku juga nilai-nilai yang didokong oleh acara dan aktiviti tidak kesampaian kepada pesilat-pesilat. Antara nilai penting yang terhakis atau tidak tersentuh dijiwa pesilat ialah semangat setia kawan, patuh kepada arahan, disiplin, menghormati guru, semangat kerjasama, bersungguh dalam segala perbuatan dan bertanggungjawab kepada amanah yang diberi.

       Acara adat istiadat yang lazimnya dianjurkan dalam kegiatan Silat Seni Gayong ialah Perlimau Tapak/Seni, pemakaian pakaian (latihan dan rasmi), Khatam Keris, Khatam Lembing, penyampaian Sandang, bergelanggang (adat membuka/ menutup latihan di gelanggang), mengambil tapak, dan angkat hormat guru/pemimpin.  Kesemua aktiviti ini mempunyai kaedah dan caranya disamping ada diantaranya melibatkan perkara cara gaya pakaian, warna kain, alat dan perkakasan, tutur kata, bacaan doa dan surah-surah pilihan Al Quran, dan lafaz akad dan ikrar.  Setiap perlakuan serta alat/bahan yang digunakan mempunyai sebab dan musababnya yang harus difahami oleh bukan sahaja gurulatih bahkan juga pesilat-pesilat.  Penghayatan kepada acara adat istiadat akan melakarkan rupa bentuk pengamal Silat Seni Gayong jika para gurulatih melaksanakannya dengan berterusan, teratur dan bertanggungjawab.

       Lembaga Beradat Kebangsaan menyeru agar penyampaian ilmu Silat Seni Gayong bukan semata-mata pelajaran silat sahaja tetapi harus disokong dengan aktiviti adat istiadat yang berkaitan.  Setiap pelajaran silat dan acara adat istiadat perlu disampaikan dengan kupasan falsafah dan matlamatnya bersesuaian pada peringkat kematangan pesilat. Dalam hal ini,  para gurulatih mesti bersedia untuk mengikuti sesi-sesi bimbingan (bengkel/kursus/seminar) dalam bidang yang dinyatakan bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman.  Tanggungjawab gurulatih bukan semata-mata mengajar silat tetapi juga mendidik dan membimbing jati diri pesilatnya.

 

12 Nov. 2018

 

       Mesyuarat Majlis Perlimau Kebangsaan pada 4 Ogos 2018 menyatakan kerisauan bahawa kebelakangan ini didapati ramai dalam kalangan gurulatih gelanggang yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pelaksanaan Acara Perlimau Tapak dan Seni di gelangang masing-masing.  Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelicinan pengurusan majlis tersebut tetapi juga menjadi antara sebab gurulatih tidak melaksanakan acara berkenaan.  Ini dapat dikesan apabila terdapatnya murid silat yang memegang bengkung Awan Putih, Pelangi Hijau dan sebagainya menyatakan bahawa mereka belum lagi menjalani acara Perlimau Tapak ataupun Seni (bagi pesilat perempuan).

       Diingatkan bahawa semua acara dan aktiviti adat istiadat yang dianjurkan dalam pelajaran Silat Seni Gayong adalah bertujuan untuk membentuk jati diri mereka yang mempelajari silat ini.  Nilai-nilai seperti semangat setia kawan, patuh kepada arahan, menghormati guru dan pemimpin, patuh kepada ajaran agama, berjiwa besar, yakin dan sebagainya diterap ketika sesi pengajaran silat dan juga pengamalan adat dan adap.  Dalam erti kata lain, acara adat istiadat adalah unsur yang penting dalam membentuk manusia yang bergelar Pendekar Gayong.

       Justeru, semua gurulatih diminta supaya memastikan acara adat istiadat Perlimau Tapak dan Seni dilaksanakan kepada pesilat masing-masing pada peringkat hitam mulus.  Garis panduan (Surat Pekeliling Adat Bil 1-2018) telahpun dikeluarkan oleh Lembaga Beradat Kebangsaan  sebagai dijadikan rujukan.

 

DIJEMPUT SEMUA AHLI PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG MALAYSIA DAN AHLI-AHLI SENI BELADIRI YANG LAIN UNTUK MENGHADIRI PROGRAM WACANA INI YANG JULUNGKALI DIADAKAN.


KEHADIRAN ANDA SEMUA DIALU-ALUKAN.

 

 


PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY

Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email

pssgm@gayong.com.my

Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian

 

Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web

**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**