Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

         


 

8 April 2014

Silat Seni Gayong Malaysia adalah satu-satunya silat bangsa Melayu yang mempunyai silibus yang disusun rapi dengan menggunakan bengkung berwarna sebagai sistem mengukur prestasi atau pencapaian pesilat.  Tan Sri Mubin Sheppard seorang pengkaji budaya Melayu yang ternama telah menulis dapatannya dalam sebuah buku terbitan awal tahun 1970an hasil pemerhatian selama beberapa tahun.

Pada tahun 1989, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Bahagian Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula silibus pelajaran latihannya bagi menyesuaikan langkah untuk mengembangkan kegiatannya di sekolah menengah secara agresif.  Tuan Haji Mohd Anuar Hj Abdul Hamid, Tuan Haji Mohd Sani bin Morni, Encik Mohamed Faid bin Musa dan Encik Rasol bin Abdul Ghani, telah diminta oleh Allahyarham Tuan Haji Mohd Razali bin Salleh, YDP PSSGM Selangor ketika itu, untuk mengkaji dan mengemaskan silibus pelajaran yang sedia ada dan melengkapkanya untuk tujuan tersebut.

Silibus pelajaran Silat Gayong Malaysia yang diajar di sekolah pada hari ini merupakan evolusi dari usaha tersebut. Susunan pelajaran ini mengambilkira faktor permainan senjata tidak digalakkan di sekolah, pelajaran yang diajar perlu menarik dan dapat mengekalkan minat murid secara berterusan dan jangan ada ‘rahsia atau hak kita’ terlepas kepada orang lain. Maka silibus pelajaran PSSGM Selangor di sekolah dan remaja telah diatur supaya kemahiran dari peringkat Asas sehingga Pelangi  Merah Cula 3 tiada pelajaran senjata diberi. Pelajaran tangan kosong dilengkapkan sepenuhnya dari aspek gerakan asas, gerakan asas elakan, gerakan golongan dan permainan pentas.  Pelajaran Kunci Mati diajar sebagai pelajaran di peringkat bengkung Pelangi Merah Cula 1 sebagai langkah pelajaran ‘rahsia atau hak kita’ ini tidak diberikan terlalu awal, sebaliknya pelajaran Kombat diperkenalkan dari peringkat bengkung Awan Putih.

Dengan susunan yang sebegini rupa pesilat lelaki dan pesilat wanita diajar dengan pelajaran yang hampir sama (rujuk Susunan Pelajaran) dari peringkat bengkung Asas sehingga Harimau Pelangi Hitam Cula Sakti 5.  Perbezaannya ialah di peringkat latihan lompatan, pesilat lelaki dikehendaki membuat variasi lompatan yang pelbagai berbanding dengan pesilat wanita kerana faktor keselamatan dan kesihatan. Berasaskan susunan ini setiap pesilat boleh menguasai pelajaran dalam tempuh 48 jam sebelum diuji untuk kenaikan bengkung dan jika latihan diberi tumpuan sepenuhnya, seorang pesilat boleh menjalani ujian sebanyak 2 kali setahun.