Tanggal 31 Ogos merupakan hari yang amat bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia dimana pada tahun 2025 kita telah mendapat merdeka selama 68 tahun hasil usaha dari pejuang-pejuang negara tidak kira dari perjuangan fizikal dan juga di meja rundingan. Hari yang penuh bersejarah ini bukan sahaja diraikan dengan penuh rasa syukur, malah turut menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang kaum dan budaya di seluruh negara.
Sambutan kemerdekaan kali ini dengan bertemakan “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” memberi penekanan kepada semangat perpaduan, keberanian serta jati diri bangsa yang terus utuh mempertahankan kedaulatan negara.
Setiap tahun, pengisian utama sambutan hari kemerdekaan ialah perbarisan Hari Kebangsaan, yang berlangsung diperingkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung mahupun peringkat sekolah. Perbarisan ini bukan sekadar tontonan yang memukau, tetapi juga lambang disiplin, semangat juang, dan kecintaan terhadap tanah air.
ANAK GAYONG bersama menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan
Dalam suasana penuh semangat ini, Anak-anak Gayong turut bersama memainkan peranan penting. Bukan hanya sekadar ilmu persilatan yang diwarisi malah semangat cintakan negara, kesetiaan, hormat-menghormati, dan kekuatan rohani turut diterapkan disetiap jati diri Anak-anak Gayong. Tahun ini, Anak Gayong melibatkan diri dalam aktiviti perbarisan kemerdekaan antarannya di peringkat Negeri dan juga daerah sebagai wadah menunjukkan semangat kemerdekaan yang terus subur dalam jiwa setiap generasi. Anak-anak Gayong berarak dengan menampilkan disiplin yang tinggi serta komitmen untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan serta menyemarakkan semangat patriotik dalam dalam diri.
Penglibatan anak Gayong dalam perbarisan kemerdekaan melambangkan kesinambungan antara perjuangan masa lalu dengan semangat generasi hari ini. Jika dahulu pejuang tanah air mengangkat senjata demi membebaskan negara, hari ini generasi muda menyambung perjuangan dengan cara mengekalkan budaya, memperkukuh jati diri, dan memastikan warisan bangsa tidak luput ditelan zaman.
Simbol kepada perpaduan, Anak Gayong yang datang daripada pelbagai latar belakang dan etnik disatukan di bawah panji silat Gayong, seiring dengan semangat kemerdekaan yang menekankan kesatuan rakyat. Dengan semangat perpaduan, disiplin, dan jati diri yang teguh, anak-anak Gayong akan terus menjadi benteng budaya dan simbol kebanggaan negara, seiring aspirasi Malaysia menuju masa depan yang lebih gemilang.